Di Mana Cantiknya Seorang Wanita?

Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja. Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak. Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.
Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan. Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu. Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam. Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.

Anda ingin lebih cantik dan menarik??

# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
# Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
# Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.
# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.
# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".
# Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.

ILuvislam.com

3,000 terperangkap

PADANG: Hampir 3,000 mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi melanda Sumatera Barat, tiga hari lalu.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kementerian Kesihatan Indonesia, Priyadi Kardono, berkata sehingga semalam, 715 disahkan terkorban, manakala 2,400 mangsa dimasukkan ke hospital.
Gempa bumi itu mengakibatkan kemusnahan teruk kepada sebahagian besar Sumatera Barat, dengan kebanyakan kerosakan berlaku di Padang, ibu negara wilayah itu. Priyadi berkata, lebih 20,000 bangunan dan rumah rosak teruk atau musnah sama sekali, manakala yang dipercayai masih terperangkap adalah di Padang dan enam daerah lain.


Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa, manakala bantuan antarabangsa termasuk khemah, ubat-ubatan, bekalan air bersih dan beratus pekerja penyelamat mula tiba di wilayah itu semalam.
Operasi menyelamat bagaimanapun terjejas berikutan terputusnya bekalan elektrik dan kekurangan jentera berat bagi mengalihkan runtuhan batu. Gempa bumi dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter, melanda wilayah itu petang Rabu lalu, mengakibatkan beribu-ribu bangunan runtuh, manakala telefon terputus hubungan, menyebabkan sukar untuk menentukan angka sebenar kerosakan dan kehilangan nyawa.


Malaysia, Australia, Korea Selatan dan Jepun adalah antara negara yang menawarkan bantuan. Pekerja menggunakan lampu kalimantang dan jentera penggali untuk mencari pelajar, dipercayai terperangkap di sebuah bangunan sekolah yang runtuh. Akhbar Jakarta Post melaporkan, seramai 60 pelajar sedang menghadiri kelas tambahan, ketika kejadian berlaku. Keadaan di Padang diburukkan dengan kekurangan bekalan bahan api, kedai kehabisan bekalan makanan dan penduduk sukar mendapatkan bekalan air bersih.

Kebanyakan jalan di wilayah itu musnah berikutan tanah runtuh. Sebuah klinik dua tingkat di hospital utama bandar itu telah kosong selepas operasinya tamat turut roboh. Pesakit di beberapa wad kecemasan dipindahkan ke khemah berhampiran, manakala rumah mayat sementara didirikan bagi menampung tempat penyimpanan mayat. Keadaan di Pariaman yang berhampiran pusat gempa dilaporkan lebih buruk dengan beratus-ratus bangunan musnah sama sekali, tetapi keadaan di kawasan lebih terpencil belum diketahui.
Pelajar  Malaysia yang cedera, Felicia Francisca dibawa pulang bersama 300 pelajar lain menaiki tiga pesawat khas TUDM.

– Reuters